Tuesday, December 3, 2013

Ibadah Pertama Yang Dihisab



Solat merupakan ibadah pertama yang akan dihisab pada Hari Kiamat nanti, sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya perkara pertama yang dihisab/ditanya/dihitung terhadap seorang hamba pada hari Kiamat dari amal perbuatannya ialah Solatnya. Jika Solatnya baik, maka sungguh beruntung dan berjayalah dia dan jika solatnya buruk/rosak, maka kecewa dan rugilah dia”. [HR An-Nasa’i dan At-Tirmizi]
Merujuk maksud Hadith Rasulullah SAW ini, bahawa sesungguhnya ibadah solat adalah tunjang atau tiang bagi seluruh amalan manusia. Kerana itu, ibadat solat menjadi ibadat dan amal yang pertama akan dihisab/ditanya/dihitung.
Maka amat wajar dalam kehidupan seharian umat Islam menjadikan ibadah solat ini sebagai kunci pengukur dan muhasabah diri, keluarga dan seterusnya muhasabah terhadap kualiti dan kecemerlangan rumahtangga, organisasi, pejabat, jabatan, perniagaan, syarikat dan sebagainya.
Pengajaran utama dalam hadith Rasulullah SAW ini ialah berkaitan ibadat solat. Jika ibadat solat kita baik, maka beruntunglah dan berjayalah dalam perkara lain. Ertinya umat Islam yang menjaga dan melaksanakan perintah mendirikan solat adalah umat yang akan memperolehi kejayaan, kemenangan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Firman Allah di dalam Al Quran:

 (1) قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ

(2) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya”. [Surah Al Mu’minun, ayat: 1-2]
Yakinlah sesungguhnya ibadat solat adalah ibadat yang berkesan dalam membentuk sahsiah dan peribadi umat yang terbaik, berdisiplin, amanah dan solat juga menjadi benteng diri daripada perbuatan keji dan mungkar.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “…dan dirikanlah solat, sesungguhnya Solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”.  [Surah Al Ankabut, ayat: 45]
Ingatlah, pesanan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak memandang kepada rupa paras kamu dan harta benda kamu, tetapi sesungguhnya hanya yang dilihat-Nya ialah hati-hati kamu dan amal-amal kamu”.
[HR Muslim dan Ibnu Majah]
Demikianlah, sewajarnya dalam kita melakukan muhasabah sama ada untuk diri, amalan, kehidupan, rumahtangga, kerjaya, perniagaan dan sebagainya, mulakan ia daripada ibadat solat kita. Jadikan ibadat solat sebagai KPI atau Indeks Prestasi Utama dalam kehidupan umat Islam. Insya Allah, hidup kita akan lebih baik, tenang, damai, berjaya, cemerlang dan bahagia.
Firman Allah SWT:
(132) وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ
Maksudnya: "Dan perintahkanlah kepada ahli keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami (Allah) tidak meminta rezeki kepadamu. Dan ganjaran (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertaqwa”. [Surah Thaha, ayat: 132]
[SUMBER: 'Teks Khutbah Jumaat' disediakan oleh: Bahagian Penyelidikan & Informasi, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah]

No comments:

Post a Comment